Hidup Sendiri

 



Suatu ketika, saya pernah terbaca.

"Hidup ini hanya menunggu untuk mati. Allah datangkan keluarga, kawan-kawan, guru dan orang-orang sekeliling sebagai peneman dalam perjalanan pulang menuju Ilahi supaya hidup kita tidak sunyi."

Kali ini pertama kali saya raya Aidiladha sendiri, tidak ditemani keluarga. Yang ada cuma sahabat disisi cuma untuk seketika. Berbeza benar suasananya. 

Apabila bersendiri, saya tersedar, sunyinya hidup ini. 

Tiada kelibat ayah yang setiap pagi bergegas mencari rezeki, tiada suara ibu yang dalam tegasnya lembut menasihati, suara ceria adik yang ketawa juga kakak yang sibuk menyakat. 

Kelibat-kelibat mereka seolah-olah berlegar-legar di pandangan mata. 

Riuh rendah rumah dibuatnya apabila semua bertemu mata!

Betul kata-kata di atas, Allah datangkan keluarga, sahabat, guru dan orang-orang sekeliling untuk menemani perjalanan ini. 

Sebagai penghibur, ketenangan hati. 


Kenapa kehidupan ini seolah-olah sunyi dan sendiri? 

Kerana merekalah yang mewarnai kehidupan kita.

Dengan pelbagai ragam dan cerita yang berbeza.

Yang menemani tiap langkah kita.

Walau kadang-kadang ada perkara yang tidak kita sukai,

Tapi Islam tidak pernah mengajar kita untuk membenci batang tubuh itu sendiri,

Hanya perbuatannya yang perlu kita benci,

Adapun batang tubuh itu tetaplah perlu kita sayangi dan kasihi.


Tetapi, tetap juga mereka yang mewarnai hidup kita, bukan?

Disamping itu, mereka juga boleh jadi ladang pahala buat kita, bukan?

Bayangkan kita dapat bersabar dengan kerenah mereka, melayani ragam mereka dan membahagiakan mereka, bukankah di situ adanya pahala untuk bekalan ke sana? 


Membuat bakti sebagai seorang anak, 

Melayani ragam adik,

Berkhidmat pada guru,

Membantu sahabat dan teman.


Cuba bayangkan hidup kita sendiri.

Adakah rumah kita akan ceria dan happy?

Seronokkah pergi sekolah sendiri-sendiri? 

Siapakah yang akan mengajar dan yang menjadi teman belajar?

Mana mungkin diri kita sendiri. Aneh sekali kehidupan begitu.

Indahnya kehidupan ditemani keluarga dan sahabat disisi.


Antara pengajaran yang saya dapat tika sendiri ini,

Menghargai kehadiran keluarga, sahabat, teman, guru dan orang-orang sekeliling

Dan juga bersabar dalam bergaul dengan mereka

Setiap yang hadir mewarnai hidup kita sebenarnya melengkapkan kehidupan kita

Hargai dan nikmati kehidupan ini sebaiknya bersama orang-orang sekeliling. 

Tetapi jangan lupa, mereka tidak selamanya disisi. 

Pulang nanti, kita hanya sendiri ke negeri abadi.

"Dan setiap orang dari mereka akan datang kepada Allah sendiri-sendiri pada hari Kiamat." (Surah Maryam : 95)

Yang kekal setia hanyalah DIA.


Izzah Hanim,

13/07/2022















Ulasan