"Cakap dulu awak sayang akak."
Aishhh, dia ni. Hannan semakin geram dengan kakaknya.
'Saat-saat beginilah dia nak ugut aku', rengus Hannan dalam hatinya.
"Tak nak."
"Cakap dulu awak sayang akak."
Hannan masih berkeras untuk tidak menuturkan. Dan kakaknya juga sama, berkeras tidak mahu memberikan. Dia sengaja mengusik Hannan dengan mengambil barang adiknya itu.
'Eiiiii dia ni.'
Akhirnya,
"Seni seviyorum."
Hannan berjaya mengungkapkan dengan bahasa yang berbeza tetapi masih memberi maksud yang sama.
Lalu, kakaknya menghulurkan kembali barang tersebut.
'Entah apa yang membuatkan lisanku kaku untuk mengungkapkannya'. bisik Hannan dalam hati. Terasa susah benar walaupun kepada kakak sendiri!
Membaca kisah ini membuatkan aku teringat ketika hari-hari terakhir di madrasah Bursa. Aku sangat suka menyaksikan hubungan baik antara Nesibe abla dan Feyza abla. Dua beradik yang sangat rapat dan sopan. Jarak umur mereka lima tahun. Mereka mengajar di madrasah yang sama. Lalu kami bercerita kepada Nesibe abla bahawa sebagai rakyat Malaysia, kami sangat susah untuk mengungkapkan sayang hatta kepada adik beradik sendiri. Lalu aku tanyakan kepadanya,
"Tak malu ke nak cakap sayang?"
"Tak. Kenapa nak malu, dia kan kakak saya." Lebih kurang begitu jawapannya.
Mereka tidak segan untuk menzahirkan perasaan sayang hatta kepada kami yang baru dikenali. Kami yang terasa segan dan tak tahu nak balas apa😂
Mengungkapkan sayang kepada mereka yang kita kasihi adalah saranan daripada Nabi SAW sendiri,
“Apabila seseorang menyayangi saudaranya, hendaklah dia mengatakan sayang kepadanya.”
(Hadits Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)
Dalam satu hadis lain,
Anas r.a. mengatakan bahawa seseorang berada di sisi Rasulullah s.a.w, lalu salah seorang sahabat melewatinya.
Orang yang berada di sisi Rasulullah tersebut mengatakan, “Aku mencintai dia, ya Rasulallah.”
Lalu Nabi SAW bersabda, “Apakah kamu sudah memberitahunya?”
Orang itu menjawab, “Belum.”
Kemudian Rasulullah SAW bersabda, “Beritahu kepadanya.”
Lalu orang tersebut memberitahukannya dan berkata,
“Sesungguhnya aku mencintaimu kerana Allah.”
Kemudian orang yang dicintai itu menjawab,
“Semoga Allah mencintaimu kerana engkau mencintaiku kerana-Nya.”
(Hadis Riwayat Abu Daud)
Teringat saya kepada sebuah lirik lagu yang masyhur suatu ketika dulu,
Betapa sukarnya menyusun bicara
Meluahkan rasa
Menuturkan sayang
Kasih yang terlimpah
Hanyalah sekadar tingkah
Cuma ungkapan kebisuan yang
Melindungkan kalimah rahsia
Apakah yang hilang andai dilisankan
Bait penghargaan penuh kejujuran
Tak mungkin terlihat cinta yang merona
Jika hanya renungan mata yang bersuara
Bukan atur kata
Lagu ini mengisahkan tentang seorang anak yang sukar baginya melafazkan kalimah sayang kepada orang tuanya, namun itu tidak bermakna dia tidak menyayangi mereka, cuma dia menzahirkan sayangnya melalui tindakan dan perbuatan. Lidahnya tidak terluncur untuk menyebut kalimah tersebut.
Di akhir lagu ini, diselitkan ingatan kepada semua, tatkala mana ibu dan ayah itu berada dalam keadaan sakarat, ketika itu sudah terlambat untuk menyatakan rasa sayang kita kepadanya supaya mereka tahu bahawa kita menyayanginya. Kala mana kehilangan menggantikan kalimah yang sekian lama terpendam dan tidak terluncur, ketika itu penyesalan akan membibit dan bersarang di hati.
Katakan bahawa kita menyayangi mereka sebelum terlambat! Bak kata Nisa, kepada yang halal semestinya 😉
Tiada lagi ertinya pengucapan
Andai akhir nafas di hujung helaan
Sebelum mata rapat terpejam
Usah biar kehilangan
Menggantikan lafaz yang tersimpan
Ulasan
Catat Ulasan