Saya mula jatuh cinta!



Pagi itu, kelas kami berjalan seperti biasa. Saya sentiasa gembira dan teruja menunggu kedatangan hari Selasa jam 10 pagi pada setiap minggu. Tetapi agak berbeza pagi ini kerana kumpulan kami perlu ke hadapan untuk melakukan pembentangan. Berdebar dan takut kerana sudah lama tidak membentang di hadapan kelas bersama kawan-kawan. 

Subjek Stilistik Quran adalah antara subjek kegemaran saya pada sem ini. 

Yang sentiasa mengujakan saya adalah mendengar syarahan daripada pensyarah tentang pelajaran hari tersebut. Dan cerita-cerita pengalaman hidup beliau.

Pagi itu guru kami bercerita seperti biasa,

"Saya asalnya bidang Sains. Saya ambil Arab kerana terpaksa. Bukan pilihan. Saya bercakap arab sejak dari kecil tetapi tidak pernah sayang bahasa Arab. 

Pada suatu hari, sewaktu dalam kelas di universiti, guru saya menanyakan saya, apa beza antara dua ayat ni? Kenapa ayat pertama yang datang dulu adalah feel (perbuatan) manakala ayat kedua adalah ism (kata nama) ? 

 إِذَا زُلْزِلَتِ ٱلْأَرْضُ زِلْزَالَهَا

"Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan (yang dahsyat)." (Surah al-Zalzalah : 1)


 إِذَا ٱلسَّمَآءُ ٱنشَقَّتْ

"Apabila langit terbelah" (Surah al-Insyiqaq : 1)

Ayat 1 - Perbuatan (زلزلت) lebih penting dari perkataan bumi. Menunjukkan bahawa gempa bumi yang akan berlaku pada kiamat adalah sangat-sangat dahsyat. Pada hari kiamat, semua tempat akan jadi gempa bumi bukan seperti di dunia sekarang, gempa bumi hanya terjadi pada sebahagian tempat sahaja. 

Ayat ke - 2, didahulukan perkataan langit kerana yang hebat adalah langit bukan perbuataan terbelah tersebut. Kita tak tahu apa yang ada di langit, material langit diperbuat daripada apa, makhluk apa yang ada dekat sana dan sebagainya. Penciptaan langit sangat hebat MashaAllah. Terlalu banyak rahsia langit yang tidak diketahui.

Sejak itu saya mula jatuh cinta dengan bahasa arab!"

Cerita guru kami dengan teruja.

Kami yang mendengar turut berasa teruja. Dengan kehebatan bahasa Quran, seseorang boleh jatuh cinta dengan bahasa arab.

Semoga Allah terus memberi kekuatan kepada kami untuk belajar bahasa Arab.

DKS 2.4 

Ulasan