Risalah Para Pesakit

 



Alhamdulillah.

Atas setiap kenangan manis dalam hidup.

Atas setiap takdir yang Allah dah tetapkan.

Alhamdulillah atas peluang dapat mendengar perkongsian yang disampaikan oleh Ustaz Fathi Hfz.

Kata ustaz,

كن عالماً أو متعلماً أو مستمعاً أو محباً ولا تكن الخامس فتهلك

"Jadilah orang yang mengajar, atau orang yang belajar, atau orang yang mendengarkan, atau orang yang menyukai, dan jangan engkau menjadi orang yang kelima, maka nescaya engkau binasa" 

(HR Al-Bazzar dan At-Thobrani)

Maksud orang kelima ialah apabila seseorang itu berinteraksi dengan ilmu maka dia perlu menjadi seorang:

Pengajar yang baik jika dia menjadi tenaga pengajar. 

Jika dia tidak berkemampuan menjadi pengajar, maka jadilah dia seorang pelajar yang baik terhadap ilmu yang diajarkan kepadanya.

 Jika dia tidak mampu menjadi pelajar yang baik, maka sekurang-kurangnya dia menjadi pendengar yang baik terhadap ilmu yang disampaikan itu. 

Namun jika dia tidak mampu menjadi seorang pengajar, pelajar dan pendengar yang baik, sekurang-kurangnya dia menyukai dan mencintai ilmu tersebut. 

Oleh itu, jika seseorang itu tiada keempat-empat ciri-ciri di atas maka jadilah orang itu orang yang kelima. Iaitu dia tidak menjadi pengajar, tidak juga menjadi pelajar, tidak pula mendengar dan menyukai ilmu itu. Bahkan dia tidak menerima manfaat dan tidak juga memberi manfaat terhadap ilmu. 

💗 Manusia berada dalam 4 keadaan :

1. Dalam keadaan memperoleh nikmat

2. Dalam keadaan ditimpa bala atau musibah

3.Dalam keadaan taat

4. Dalam keadaan maksiat

Kalau kita dapat nikmat, Allah bukan nak tengok sebesar mana atau mungkin sebanyak mana nikmat yang kita dapat, tetapi yang Allah nak tengok adalah sesyukur mana kita atas nikmat tersebut.

Kalau kita ditimpa bala, Allah bukan nak tengok sebesar mana bala tersebut, tetapi sesabar mana kita menghadapinya.

Kalau kita dalam keadaan taat, Allah bukan nak tengok banyak mana ketaatan ataupun ibadah kita tu, melainkan Allah nak tengok sejauh mana kejujuran dan keikhlasan kita dalam ibadah. Kerana nikmat ibadah itu sendiri datang daripada Allah. Sesungguhnya, tiada daya dan upaya melainkan kekuatan daripada Allah.

Bila dapat nikmat, kita ucap الحمد لله الذي بنعمته تتم الصالحات

Kalau kita dalam keadaan maksiat, Allah bukan tengok sebesar mana maksiat yang dilakukan, tetapi sebanyak mana kita istighfar dan bertaubat atas maksiat yang dilakukan.

Kata Buya Hamka,

"Kalau kita tidak mampu berlumba dengan orang soleh dalam ketaatan, maka berlumbalah dengan orang yang berbuat maksiat dalam taubat dan istighfar."

Kata ustaz lagi,

Nabi Ayub sakit selama hampir 18 tahun. Seluruh badannya ditimpa penyakit kulit sehinggalah pada tahun ke 18, penyakitnya terkena pada lidahnya menyebabkan baginda tidak mampu lagi untuk berzikir.

Apa doa Nabi Ayub A.S?

Allah berfirman dalam Q.S Al-Anbiya ayat 83,

۞ وَأَيُّوبَ إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُۥٓ أَنِّى مَسَّنِىَ ٱلضُّرُّ وَأَنتَ أَرْحَمُ ٱلرَّٰحِمِينَ

Ertinya: "Dan (ingatlah kisah) Ayub, ketika ia menyeru Tuhannya: "(Ya Tuhanku), sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah Tuhan Yang Maha Penyayang di antara semua penyayang".

Nabi Ayub tak minta ubat atau kesembuhan tetapi baginda puji Allah. 

Makam syukur Nabi Ayub terlalu tinggi kerana rezeki Allah pada baginda sangat banyak sehingga baginda segan dan banyak berkias-kias.

Badiuzzaman Said Nursi sebut tentang sakit dalam buku beliau, Risalah Para Pesakit.

1. Pesakit tiada hak untuk mengeluh

Anggota badan kita bukanlah milik kita.Tiada kilang yang mampu cipta badan kita. Jadi, tubuh badan kita milik siapa? Milik Allah S.W.T. Analoginya, seorang pekerja diupah untuk menjadi model bagi mengayakan pakaian yang direka oleh seorang pereka fesyen. Jadi, adakah berhak pekerja tersebut untuk mengkritik pakaian-pakaian tersebut sedangkan dia hanyalah tukang gaya kepada pakaian tersebut. Begitu juga dengan kita, adakah berhak untuk kita mengeluh dengan sakit yang Allah bagi sedangkan tubuh ini bukan milik kita. 

2. Sesuatu perkara dapat diketahui dengan yang berlawanan dengannya.

Kita mengenal warna putih kerana adanya hitam

Kita mengenal malam kerana adanya siang

Kita mengenal kebaikan kerana adanya kejahatan

Kita mengenal sakit supaya kita mengetahui nilai sihat.

Melalui sakit, kita kenal Allah as-Syafi' (Allah Yang Maha Menyembuhkan) .

💗 Setiap anggota yang kita punya mempunyai nilai yang besar. Dan manusia tidak akan sesekali menyedarinya kecuali apabila sakit. Tiap satu anggota berlainan nilainya. Sebagai contoh, apabila sakit telinga, kos yang perlu ditanggung lain. Sakit mata, kosnya lain. Sakit kaki, kosnya lain. Semua ni menunjukkan bahawa setiap satu anggota sangat bernilai.

"Berkat takkan dicapai kecuali apabila dekat dengan Tuhan."

💗 Kenapa apabila takbir raya tidak bercerita tentang raya tetapi dalam bait-bait tersebut terkandung tentang peperangan?

Tiada Tuhan melainkan Allah dan tidaklah kami menyembah melainkan-Nya dengan tulus ikhlas menuruti Agama-Nya, sekalipun dibenci oleh orang kafir.

Tiada Tuhan melainkan Allah sahaja. Dia membenarkan janjinya, membantu hambanya dan memuliakan tenteranya serta mengalahkan pakatan tentera Ahzab secara bersendirian.

Tiada Tuhan melainkan Allah. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan bagi Allah segala pujian”

Hari Raya lazimnya manusia mudah lalai kerana nikmat yang melimpah ruah. Sehebat mana kita nak bergembira, mesti ada satu sistem yang menahan kita. Jadi, Allah cipta satu sistem (sistem break) supaya manusia tak terleka dan terlajak.

Begitu juga sakit, ibarat satu break dalam kehidupan. Supaya kita segera balik pada Allah disaat kita menyedari kelemahan dan kedaifan diri sendiri melalui sakit. 

Ustaz bagi satu teka teki, 

Kereta apa yang paling mahal?

"Kereta blablabla..." Jemaah yang mendengar menjawab.

"Kereta yang kita tak mampu nak beli."

Semua gelak berjemaah.

Sambung ustaz lagi, semahal mana dan sehebat mana pun kereta tu, mesti ada break juga. 

Begitulah sakit, yang berperanan sebagai break supaya kita tak tersasar dari landasan sebenar dan segera balik kepada Allah apabila terleka dan terlalai.

3. Ibadah ini ada 2 jenis, ibadah aktif dan pasif

Ibadah aktif - Solat, Puasa, Baca Quran

Ibadah pasif - Syukur dan sabar menjadi ibadah apabila seorang hamba Allah itu sakit.

Apabila seseorang itu sakit, di saat dia tidak mampu lagi buat ibadah-ibadah sunat yang biasa dia buat, maka dia akan dapat pahala juga sebagaimana dia buat ibadah tu ketika dia sihat. 

4. Jaga kesabaran, jangan dipecah-pecahkannya.

Apa maksud memecahkan kesabaran?

Sebenarnya sabar yang Allah beri untuk kita pada setiap hari mencukupi untuk hari itu. Tetapi bila kita fikirkan masa lalu dan resah dengan akan datang, maka sabar kita berkurang. 

Contohnya, seseorang yang berhajat untuk sambung belajar tapi dia masih belum berangkat tetapi dalam fikirannya dah fikir tentang kesusahan yang akan ditanggungnya. Maka, sabarnya akan berkurangan sedangkan perkara tersebut belum berlaku lagi.

Begitu juga sakit. Sakit itu ada tempohnya, maka bersabarlah.

Jangan difikirkan tentang kita akan berterusan sakit kerana perkara tersebut akan mengurangkan sabar.

Kita mungkin sakit hari ini, esoknya mungkin kita akan sihat. Kerana sakit itu ada tempohnya, apabila tamat tugasnya, dia akan berlalu pergi. 

Sakit fizikal ada tempohnya, kalau tak sembuh walaupun dah jumpa Dr, bila mati akan habis segala kesakitan tu. 

"Tidaklah seorang muslim itu ditimpa sesuatu kecuali telah ada takdir Allah disisinya."

Rasulullah SAW bersabda: 

"Sungguh ajaib dalam urusan orang Mukmin. Sesungguhnya setiap urusannya baginya ada kebaikan dan perkara ini tidak berlaku melainkan kepada orang Mukmin. Sekiranya dia diberi dengan sesuatu yang menggembirakan lalu dia bersyukur maka kebaikan baginya dan sekiranya apabila dia ditimpa kesusahan lalu dia bersabar maka kebaikan baginya." (Riwayat Muslim)

"Saya yang waktu sem 5 dah meninggal. Jadi, mengapa perlu dikenang-kenang? Yang tinggal sekarang, adalah saya yang sekarang. Yang akan datang belum pasti. Jadi, saya perlu hidup untuk hari ini. Melakukan yang terbaik untuk setiap peluang yang datang pada hari ini.

Cukuplah kebahagiaan hidup itu diperoleh dalam ketaatan kepada-Nya.

Kenangan yang paling manis dalam hidup adalah apabila kita menghabiskan masa kita dalam sehari itu dengan ketaatan kepada-Nya."

5. Musibah yang paling besar bukanlah musibah tetapi hilangnya iman.

Apabila hilang iman, apa lagi yang tersisa? 

💗 Doktor yang terbaik sebenarnya berada pada diri kita sendiri

- Berjalan Kaki

- Dapatkan cahaya matahari

- Udara yang segar

- Minum air suam

- Makan madu

- Minum air zam zam

- Habbatus Sauda

- Puasa Isnin dan Khamis

- Baca Quran

- Syukur dan berdamai dengan takdir

💗 Belajarlah. Supaya jelas matlamat dalam hidup kita. Supaya iman kita sentiasa meningkat.

Bila iman kuat, cahaya kuat. Bila cahaya kuat, kita akan lebih jelas tentang sesuatu perkara dalam hidup. 

Nasihat ustaz ,

Orang yang sakit adalah orang yang banyak merungut.

Orang yang sentiasa sihat adalah orang yang banyak bersyukur.


Ya Allah, terlalu mahal semua nasihat ini. Terima kasih Allah mempertemukan aku dengan orang-orang yang baik.

Bangi, 25/06/2022.




Ulasan