SAKIT MATA
"Sakit mata ehh..."
Ayat ni biasa keluar daripada mulut Ummi bila rumah bersepah. Dan bila ayat ni keluar, kami semua akan cepat-cepat kemas dan angkat barang-barang yang bersepah sebab dah faham bahawa rumah bersepah.
Dan waktu kecil dulu saya terfikir, "Sakit mata? Kenapa sakit? Bukanke mata Ummi okay je?" (Haha)
Apabila menginjak usia, sedikit banyak saya memahami ayat tersebut.
Sakit mata
bila tengok barang-barang yang tidak tersusun di tempatnya,
Sakit mata bila tengok keadaan rumah yang bersepah,
Sakit mata bila tengok keadaan rumah yang kotor.
Secara zahirnya, mata tersebut tidak sakit. Tetapi secara maknawinya mata tersebut sakit dan menderita.
Apabila rumah tidak kemas, barang-barang berselerakan merata-rata tempat,keadaan rumah yang kotor. Secara tidak langsung, keadaan tersebut membuatkan kita menjadi serabut dan menjadikan mata kita tidak selesa atau istilahnya sakit mata.
Begitu juga apabila mata kita melihat perkara-perkara maksiat/dosa. Mata kita akan sakit dan menderita walaupun secara zahirnya mata kita kelihatan sempurna .
Kenapa?
Kerana secara fitrahnya, mata ini dicipta untuk melihat perkara-perkara yang halal, melihat keindahan alam ciptaan Tuhan, merenung kalam-kalam Tuhan dan sebagainya. Dan perkara yang disebutkan di atas adalah berlawanan dengan fitrah insan. (Saya tidak terfikir tentang perkara ini sehinggalah ia disebut oleh Ustazah kami dalam kelas)
Apabila mata tidak difungsikan pada perkara yang sepatutnya, ia akan sakit dan menderita.
JAGA MATA
Nikmat melihat antara nikmat yang terbesar dalam hidup seorang insan yang perlu disyukuri. Cuba bayangkan bagaimana agaknya keadaan kita apabila Allah menarik nikmat mata ini. Dunia kita gelap gelita tanpa cahaya.
Dengan mata, kita mampu melihat dan menjalani hidup dengan baik. Tetapi adakah kita bersyukur?
Menjaga mata daripada memandang yang haram merupakan bukti kita bersyukur dengan mata yang dianugerahkan Ilahi.
Apa yang dipandang akan masuk ke hati dan kekal dalam ingatan. Oleh itu, pandanglah perkara-perkara yang halal, perkara-perkara yang baik juga perkara yang dapat meningkatkan iman dalam diri.
Apabila ada potensi akan berlaku pemandangan yang haram, nyalakan penggera taqwa di minda dan segeralah berpaling.
Sabda Rasullullah SAW : Daripada Jarir bin Abdillah, "Aku bertanya kepada Rasulullah tentang pandangan tiba-tiba (tanpa sengaja), lalu beliau memerintahkanku untuk memalingkannya". (HR Muslim) Kalau tidak sengaja pun disuruh berpaling, apatah lagi kalau dengan sengaja.
Semoga kita dapat menjaga amanah ini dengan baik sehingga ia diambil kembali.

Ulasan
Catat Ulasan