AL-QURAN : TEMAN ABADI

 


يا عشاق القرآن.. 

عُدّوا الأيام واللحظات والأنفاس فهذا شهر رمضان قد دنا، فإعدّوا له عدته وهيّئوا قلوبكم لاستقباله بالإكثار من الذكر والاستغفار ولزوم تلاوة القرآن في آخر شعبان..

وحذار أن يفجأكم رمضان على حين بغتة والقلوب بعيد عهدها عن القرآن ثقيلة عن الطاعة، فيكون سيرها بطيئاً في رمضان فلا تكاد تنشط إلا وقد انقضى الشهر...

يا عشاق القرآن.. 

ساعات غالية قد أقبلت عليكم فاقدروها قدرها، فإنّ للقرآن في ليالي رمضان لذة لا تعقبها لذة..

يا عشاق القرآن..

احرصوا أن تكون الساعات القادمة ساعات قرآنية بامتياز ليثبت الإيمان ويهدأ القلب ويزول الشعَث وتبصر الحقائق. 

وتزوّدوا
أكاديمية_غراس
........................................

Wahai para perindu Al Quran……

Hitunglah hari-hari dan saat-saat menuju Ramadhan kerana sesungguhnya ia telah dekat. Maka persiapkanlah bekalan dan hati kamu untuk menyambutnya dengan banyak berzikir, beristighfar, dan melazimi membaca Al Quran pada pengakhiran bulan Syaaban.

Berhati-hatilah sekiranya Ramadhan tiba-tiba menghampirimu dalam keadaan hatimu jauh daripada Al Quran dan berat melakukan ketaatan. Maka kelak hatimu lambat (malas) bahkan tidak bersemangat melakukan kebaikan pada bulan Ramadhan sehinggalah ia berlalu pergi.

Wahai para perindu Al Quran…….

Saat-saat yang berharga telah menghampirimu maka ambillah peluang itu. Kerana sesungguhnya waktu bersama Al Quran pada malam Ramadhan itu kelazatannya tiada bandingan. 

Wahai para perindu Al Quran…….

Usahakan waktu yang akan datang ini waktu bersama Al Quran dengan mengistimewakannya kerana ia menguatkan keimanan, menenangkan hati, menghilangkan kekusutan, dan mencelikkan kebenaran.

Credit : Akademi Ghurras

_______________________________________________________________________________

Serasa pantas masa berlalu. Berbaki lebih kurang 36 hari sebelum tibanya Ramadhan. Apa khabar agaknya diri kita dengan al-Quran terutamanya diri si penulis ini? Kalam Tuhan yang sepatutnya sentiasa dirindukan dan menjadi panduan dalam kehidupan seorang insan.

Bagaimana hari-hari kita? Adakah sentiasa bersama Quran? Atau mungkin saja disibukkan dengan perkara-perkara lain?

Kita biasa mendengar dan membaca tentang kelebihan al-Quran tetapi masih lalai dan tidak konsisten dalam membaca malah mengamalkannya dalam kehidupan. Ampunkan diri ini wahai Tuhan.

Mari bersama merenung kelebihan al-Quran. Semoga semakin bertambah kecintaan kita kepada al-Quran.

1. PERNIAGAAN YANG TIDAK AKAN RUGI 

إِنَّ الَّذِينَ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّـهِ وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَأَنفَقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرًّا وَعَلَانِيَةً يَرْجُونَ تِجَارَةً لَّن تَبُورَ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan mendirikan solat serta menginfaqkan sebahagian daripada apa yang Kami kurniakan kepada mereka secara sembunyi atau terbuka dengan mengharapkan (daripada amalan yang demikian) sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian”. [Fathir:29]

2. KETENANGAN 

وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللهِ، يَتْلُونَ كِتَابَ اللهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ، إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمِ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ، وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ، وَمَنْ بَطَّأَ بِهِ عَمَلُهُ، لَمْ يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ

Maksudnya: “Dan tidaklah satu kaum itu berkumpul di rumah-rumah Allah (masjid) sambil membaca al-Quran dan mempelajarinya sesama mereka melainkan turunnya ketenangan kepada mereka, diliputi oleh rahmat Allah serta malaikat mengerumuninya dan Allah menjadikan makhluk-makhluk yang berada di sisi-Nya menyebut-nyebut mereka. Dan barangsiapa yang amalnya perlahan, maka nasabnya tidak dapat mengangkat darjatnya itu”. [Riwayat Muslim (2699)]

3. KEBAIKAN YANG DIGANDAKAN

Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
 

مَن قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ ، وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا ، لَا أَقُوْلُ آلم حَرْفٌ ، وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيْمٌ حَرْفٌ

Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan “الم” satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf”. [Riwayat al-Tirmizi (2835)]

4. DINAIKKAN DARJAT 

Daripada Abdullah bin ‘Amr RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
 

يُقَالُ لِصَاحِبِ الْقُرْآنِ: اقْرَأْ، وَارْتَقِ، وَرَتِّلْ كَمَا كُنْتَ تُرَتِّلُ فِي الدُّنْيَا، فَإِنَّ مَنْزِلَكَ عِنْدَ آخِرِ آيَةٍ تَقْرَؤُهَا

Maksudnya: “Dikatakan kepada pembaca al-Quran: Bacalah dan naiklah, bacalah sebagaimana kamu membacanya di dunia. Sesungguhnya tempat kamu(di Syurga) adalah pada ayat terakhir yang kamu bacakannya”. [Riwayat Abu Daud (1464)]

5. SEPERTI BUAH UTRUJAH (ENAK DAN WANGI)

Daripada Abi Musa RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
 
مَثَلُ المُؤْمِنِ الَّذِي يَقْرَأُ القُرْآنَ كَالأُتْرُجَّةِ، طَعْمُهَا طَيِّبٌ وَرِيحُهَا طَيِّبٌ، وَمَثَلُ الَّذِي لاَ يَقْرَأُ كَالتَّمْرَةِ طَعْمُهَا طَيِّبٌ وَلاَ رِيحَ لَهَا

Maksudnya: “Perumpamaan orang mukmin yang membaca al-Quran seperti buah Utrujah (limau sitrus), rasanya enak dan baunya wangi. Dan perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti buah Kurma, rasanya enak tetapi tidak berbau”. [Riwayat al-Bukhari (7560) dan Muslim (797)]

6. SEBAIK-BAIK MANUSIA

  خيركم من تعلم القرآن وعلمه 

“Sebaik-baik kalian adalah orang yang mempelajari Al-Qur’an dan mengajarkannya”. (HR. Bukhari).


.  7. PEMBERI SYAFAAT KE SYURGA

اقرءوا القرآن فإنه يأتي يوم القيامة شفيعا لأصحابه، اقرءوا الزهراوين البقرة، وسورة آل عمران، فإنهما تأتيان يوم القيامة كأنهما غمامتان، أو كأنهما غيايتان، أو كأنهما فرقان من طير صواف، تحاجان عن أصحابهما

Mafhumnya: “Bacalah al-Quran kerana Al-Quran akan datang pada hari Kiamat nanti sebagai pemberi syafaat bagi yang membacanya (dengan tadabbur dan mengamalkannya). Bacalah al-Zahrawain (dua cahaya), iaitu surah al-Baqarah dan Ali ‘Imran kerana keduanya datang pada hari kiamat nanti seperti dua awan atau seperti dua cahaya sinar matahari atau seperti dua ekor burung yang membentangkan sayapnya, keduanya akan menjadi pembela bagi yang rajin membaca dua surat tersebut.” (Hadis Riwayat Muslim)


8. TERHINDAR DARIPADA KESESATAN

قَالَ اهْبِطَا مِنْهَا جَمِيعًا ۖ بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ ۖ فَإِمَّا يَأْتِيَنَّكُم مِّنِّي هُدًى فَمَنِ اتَّبَعَ هُدَايَ فَلَا يَضِلُّ وَلَا يَشْقَىٰ

Mafhumnya: Allah berfirman: “Turunlah kamu berdua dari syurga itu, bersama-sama, dalam keadaan setengah kamu menjadi musuh bagi setengahnya yang lain: kemudian jika datang kepada kamu petunjuk daripada-Ku, nescaya ia tidak akan sesat dan ia pula tidak akan menderita azab sengsara.” (Surah TaHa, 20:123)

Ibnu Mas'ud mengatakan: 

"Janganlah seseorang dari kamu bertanya tentang cintanya kepada Allah, tetapi tanyalah kepada dirinya tentang cintanya kepada Al-Quran". Jika engkau mencintai Al-Quran, maka engkau telah mencintai Allah dan seberapa besar cintamu kepada Al-Quran, maka sebesar itu pulalah cintamu kepada Allah S.W.T.

 Kata Saidina Utman bin Affan :

لَوْ أَنَّ قُلُوبَنَا طَهُرَتْ مَا شَبِعَتْ مِنْ كَلامِ رَبِّنَا , وَإِنِّي لأَكْرَهُ أَنْ يَأْتِيَ عَلَيَّ يَوْمٌ لا أَنْظُرُ فِي الْمُصْحَفِ
Kalau seandainya hati kita suci, hati itu tidak akan kenyang dari Kalam Rabb kita, dan sesungguhnya aku tidak suka jika berlalu suatu hari aku sama sekali tidak memandang kepada mushaf 
(Riwayat al-Baihaqiy)

: "Sesungguhnya aku malu pada Tuhanku, jika sehari berlalu dan aku tidak memandang kepada perjanjian Tuhanku" (Iaitu al Qur'an)" [Syu'abul Iman]

Jadikan Alquran sebagai sahabat terbaikmu. Semakin lama kamu menghabiskan waktu bersama Alquran, ia akan semakin menghormatimu, memberitahumu rahasianya dan mengangkat derajatmu.

Khususkanlah waktu kita dalam sehari untuk membaca dan tadabbur al Qur'an, sebagaimana kita khususkan waktu untuk makan dan minum. Bukan sekadar ada kesempatan dan sampingan saja atau sekadar mengisi waktu lapang

Luangkan masa untuk al-Quran, bukan hanya baca Quran pada masa terluang.

Demi Allah, orang paling baik, paling luhur dan paling mulia dari kita adalah orang yang hidup bersama Al-Quran.

Semoga Allah mengurniakan kekuatan dan keistiqamahan untuk membaca al-Quran dan memberi kesempatan untuk kita bertemu Ramadhan.

Yang merindukan al-Quran,

25022022




Ulasan